Thursday, July 23, 2009

KEMAJUAN TEKNOLOGI DAN BELIA..

TEKNOLOGI..

Teknologi merupakan satu konsep yang luas. Teknologi maklumat atau IT dan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

Malah, teknologi mengikut takrifan pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk selesaikan masalah. Teknologi ini juga, sering berkait rapat dengan rekaan dan ’gadget’ menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Perkembangan teknologi ini berlaku dengan pantas sekali. Malah, ada yang berpandapat perkembangannya sepantas kilat. Di sebabkan oleh jaringannya yang aktif maka menjadikan teknologi ini sentiasa bergerak pantas.

Maksud kedua, yang digunakan dalam bidang ekonomi ini dilihat sebagai suatu tahap pengetahuan dalam mengabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Malah, dengan adanya teknologi bidang ekonomi sesebuah negara akan lebih kukuh dan berdaya saing disebabkan mempunyai kekuatan pada produk itu sendiri.

Mengikut Kamus Dewan keempat, teknologi adalah bermaksud aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktif dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain.

Teknologi merupakan satu perubahan inovasi teknologi komunikasi yang kian berkembang pesat dari semasa ke semasa. Teknologi yang dulunya bermula dari penghasilan untuk menghasilkan telefon yang memerlukan wayar dan antena sehingga kini hanya perlu disimpan di dalam poket di sebabkan saiz yang terlalu kecil dan agak canggih. Kini, teknologi boleh dikategorikan dalam pelbagai sudut pandangan. Teknologi yang berkaitan dengan penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat secara elektronik melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.

Teknologi dalam erti kata yang meluas dan tiada takrifan yang spesifik. Selagi ia menyampaikan maklumat dan melebarkan sayap maklumat sedikit sebanyak berkaitan dengan teknologi. Malah, teknologi dapat mengintegrasikan komputer dan internet dalam sistem informasi lainnya menjadi alat untuk memperdayakan proses pembelajaran yang lebih kreatif dan kompetitif. Para pelajar di IPT juga banyak menggunakan teknologi terutama dalam mambantu mereka mencari maklumat.


BELIA..

Belia adalah suatu perubahan yang berlaku pada kanak-kanak yang mula meningkat dewasa. Pada perkembangan belia ini dikatakan, mereka akan mengalami perubahan sama ada dari segi mental dan fizikal. Mengikut Akta perlembangaan Belia Kebangsaan, dianggarkan lingkungan usia golongan belia adalah dari 15-40 tahun. Pada tahap usia ini, mereka lebih aktif dan sensitif pada persekitaran. Faktor biologi dan psikologi mereka juga sentiasa berubah-ubah. Belia ini juga mudah dan kerap mengalami kekecewaan, emosinya juga tidak stabil dan kadang-kala tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Pada tahap ini, mereka lebih terdedah pada persekitaran yang tidak sihat. Oleh hal yang demikian, masalah remaja kerap didengari. Ini disebabkan oleh sifat mereka yang inginkan perhatian yang lebih terutamanyan dari kedua-dua ibu bapa. Antara perkataan yang sering digunakan bagi belia ialah awal belia, anak muda dan orang muda. Malah, pada tahap perkembangan ini juga dikatakan remaja ini sebagai baligh dan matang.

Definisi ini di perjelaskan lagi mengikut Kamus Dewan (2000:1121) dimana remaja bermaksud dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin.

Mengikut Kamus Dewan Keempat pula, ia bermaksud muda atau sangat muda atau muda remaja. Ianya juga bermaksud pemuda atau golongan muda secara keseluruhan baik lelaki mahupun wanita.(Sumber:Kamus Dewan Keempat)

Walaubagaimanapun, belia merupakan tunggak negara yang memainkan peranan yang penting pada masa depan negara. Jadi, semua pihak perlu memainkan peranan penting untuk membentuk dan memdidik remaja ini untuk menjadi insan yang berguna dan berbakti pada nusa dan bangsanya.



APAKAH IMPLIKASI TEKNOLOGI TERHADAP BELIA?? (+ -)

Kemajuan teknologi semakin berleluasa di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Terdapat banyak implikasi yang masyarakat boleh lihat pada masa kini. Sebagai contoh dengan kemajuan yang tinggi kita boleh menjadi masyarakat yang bermaklumat atau masyarakat informasi. Seperti yang kita tahu, pelbagai bidang seperti pertanian, perniagaan, perusahaan, perindustrian dan pendidikan telah melalui proses transformasi dari menggunakan atau menawarkan kaedah tradisional kepada kaedah berteknologi tinggi. Sebagai contoh perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat adalah dengan menggunakan teknologi yang lebih canggih seperti menggunakan perkhidmatan e-dagang, e-business dan sebagainya. Jadi masyarakat lebih mudah berurusan sekaligus memberi banyak kebaikan kepada masyarakat.

Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan telah membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau impak kepada rakyat Malaysia sama ada impak yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik. Implikasi daripada gelombang kemajuan yang dirasai kini , golongan belia dan beliawanis merupakan pihak yang paling terkesan merasai bahang dan gelombang tersebut. Hal ini kerana, golongan belia dan beliawanis merupakan insan yang paling ramai menghuni di bumi Malaysia ini. Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan belia merangkumi 41.24peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia kini.

Teknologi…memang menjadi satu keperluan terhadap masyarakat kini terutamanya golongan belia yang taksub dengan kepantasan serta kecanggihan gadget elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba, internet serta pelbagai lagi teknologi canggih yang tak terkira banyaknya. Setiap peralatan dan teknologi ini memberi banyak kemudahan kepada mereka yang tahu menggunakannya ke arah aliran positif. Selain memudahkan tugas, ianya juga memberi kelebihan lain seperti menjimatkan masa serta menjimatkan kos. Ini adalah salah satu kelebihan atau faedah yang kita perolehi terutamanya golongan belia yang sentiasa menginginkan kepantasan yang maksimum. Selain itu masyarakat akan lebih mahir dalam merentas arus kemodenan ini terutamanya dalam bidang perindustrian yang banyak menggunakan peralatan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan. Sebagaimana yang kita ketahui, golongan belia sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba serta memajukan diri sendiri dengan mengumpul sebanyak mana maklumat yang ada. Selain itu kemajuan teknologi telah menyebabkan golongan belia menjadi aktif dan berpengaruh untuk mencipta teknologi baru. Internet juga tidak terlepas daripada wadah teknologi kepada belia. Teknologi internet amat sinonim dengan belia. Antara kebaikan Internet adalah maklumat begitu mudah dan cepat disalurkan untuk digunakan dalam pelbagai urusan, seperti dalam bidang penyelidikan dan pengumpulan data. Selain itu komunikasi antara negara di dunia menjadi semakin mudah dan ringkas dengan wujudnya e-mel dan ‘chat’, di mana kos perhubungan begitu murah jika dibandingkan dengan penggunaan telefon dan juga begitu cepat jika kita membuat perbandingan dengan penghantaran surat biasa melalui pos. Urusan perniagaan dan perbankan semakin mudah dengan pengenalan ‘e-banking’. Kini, pelanggan bank tidak perlu bersusah payah beratur di kaunter-kaunter bank kerana urusan perbankan boleh dilakukan menerusi Internet. Pembayaran bil juga kini dilakukan menerusi Internet dan ini merupakan kemudahan yang paling mendapat sambutan ramai kerana kemudahan ini nyata menjimatkan masa pengguna.

Walaupun kemunculan teknologi ini dikatakan banyak membantu belia, namun remaja adalah golongan yang cukup sensitif dengan perkara yang baru dan mudah terperangkap dalam lingkungan yang bernilai negatif serta kurang memberi kebaikan dari segi jangka panjang untuk diri, peribadi dan masa depan yang terbaik. Dari setitik rahmat, nikmat dan ilmu, pengaruh teknologi kemudian menjadi suatu budaya dan amalan yang sangat cepat merebak, dari bandar menuju ke pekan, ke kampung dan akhir sekali menyusup memasuki rumah setiap keluarga. Oleh yang demikian, golongan dewasa seperti ibu bapa, guru, intelek dan ulama serta mereka yang peka terhadap kesan negatif daripada kemunculan teknologi terutamanya internet cukup merasa bimbang. Internet bukan sahaja memberi kesan positif tetapi lebih kepada negatif. Antara kesan negatif yang boleh dilihat dalam masyarakat terutamanya golongan belia adalah gejala sosial dan kadar jenayah semakin menjadi-jadi. Seperti yang kita ketahui, pada peringkat ini majoriti golongan belia masih lagi mencari identiti diri mereka sendiri. Jadi apabila kemajuan teknologi menular dengan luas di negara ini, kita akan dapat melihat bagaimana budaya di negara lain terutamanya dia negara-negara barat. Maka dengan keadaan belia yang masih mencari identiti, mereka boleh menyerap trend terkini dari budaya barat serta terikut-ikut dengan cara kehidupan mereka. Selain itu, budaya barat banyak mempamerkan budaya dan identiti yang negatif yang mampu dipengaruhi oleh mereka seperti laman web “youtube”, “redtube” selain itu wujud 33 juta laman pornografi yang dikunjungi setiap hari oleh pengguna Internet seluruh dunia. Oleh yang demikian wujud budaya mat remp-it, “black metal”, “punk” , pakaian yang terdedah serta pergaulan bebas dan bukan mengikut budaya timur. Semua ini adalah berpunca daripada kecanggihan teknologi di mana belia-belia telah menggunakan teknologi yang di anugerahkan dengan cara yang tidak betul.
Jika dinilai dari sudut lain, dengan wujudnya kemajuan teknologi seperti kecanggihan teknologi satelit komunikasi di mana kita boleh menerima rancangan-rancangan dari negara lain terutamanya negara barat yang tidak ada pegangan agama yang tetap, ini boleh memberi kesan buruk kepada golongan belia. Selain itu mengikut budaya mereka, tiada istilah haram dan halal didalam perbuatan mereka. Hal ini dapat dibuktikan apabila munculnya saluran-saluran TV seperti HBO, Cinemax, dan Star World yang dibawakan oleh TV satelit Malaysia iaitu ASTRO dimana stesen ini menyiarkan rancangan yang berbaur lucah sekaligus menjadi ikutan kepada golongan belia kini.Bagi orang yang jiwanya terdidik dengan hukum Islam, mereka tidak akan berani melakukannya kerana dosanya amat berat untuk ditanggung di dunia dan di akhirat nanti, apatah lagi kesan buruknya kepada diri, keluarga dan masyarakat juga cukup buruk dan jahat. Kita boleh membandingkan di sini dari segi kekebalan dan kekuatan peribadi sendiri dalam usaha untuk mendisiplinkan diri supaya tidak mudah terikat nilai negatif yang disalurkan melalui internet. Tentang nilai positif internet berupa ilmu dan juga maklumat bermanfaat lagi baik, inilah sepatutnya golongan remaja utamakan dan cari. Matlamat dan tujuan kebaikan ini cukup besar fadilatnya, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud:
"Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang malakukannya." (H.R. Bukhari)

Ertinya, belia mesti bijak dan mempunyai pertimbangan iman, ilmu, akhlak mulia, akal budi, amal soleh dan taqwa, seandainya yang kita harap dari kemajuan teknologi itu ialah kebaikan dan faedahnya yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ruang untuk mencari kebaikan dan berbuat yang terbaik itu bagi golongan belia sentiasa terbuka luas, seluas bumi yang terhampar, walaupun kita berlawan dengan ruang, iklan dan promosi untuk menjerumus belia ke arah kejahatan juga cukup hebat, apa lagi melalui internet yang dihasilkan dari ilmu sains komputer itu.

P/S:TERPULANG LA BAGAIMANA BELIA NAK BERTINDAK BALAS DALAM PERKARA NI..SEBENARNYA TEKNOLOGI MEMUDAHKAN KITA,TAPI IA MENJADI SUKAR SEBAB ADA TANGAN JAHAT YANG MENDATANGKAN MASALAH…FIKIR-FIKIRKAN LAH YE…


No comments:

Post a Comment